“Penat, Susah, Tak Mudah…”-Pengembara Wanita Solo Malaysia Menangis Ceritakan Pengalaman Terkandas, Jadi Inspirasi Ramai

Selepas 17 bulan, motosikal Yamaha FZ150 milik pengembara wanita solo Malaysia, Anita Yusof yang terkandas di Ethiopia sejak Ogos 2020, akhirnya mendapat pelepasan keluar dari negara itu.

Anita yang ketika ini berada di Addis Ababa, Ethiopia berkongsi perkembangan terbaharunya itu selepas menempuh pelbagai cabaran termasuk kerenah birokrasi dalam usaha mengeluarkan motosikal kesayangannya itu.

“Saya akui bukan mudah berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kerenah birokrasi, kebanyakan mereka pula tidak pandai berbahasa Inggeris dan bayangkan semuanya dilakukan sendiri tanpa sesiapa memandangkan Malaysia juga tiada kedutaan di sini, namun kedegilan ini yang membuatkan saya tidak menyerah kalah mengeluarkan motosikal saya dari negara itu dengan sedaya upaya.

“Bayangkan saya sepatutnya boleh dapat dua motosikal baharu dengan nilai RM16,000 iaitu kos menerbangkan motosikal itu dari Addis Ababa ke Jeddah, Arab Saudi, tetapi melihat kepada nilai sentimentalnya dan sejarah kerana dengan motosikal itulah saya keliling dunia dan dapat gelaran penunggang wanita Muslim pertama mengelilingi dunia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Wanita itu berkata, dia bukan sengaja mahu meninggalkan motosikalnya di negara itu, namun segalanya berlaku di luar kawalan apabila Covid-19 melanda dunia ketika kira-kira tiga bulan selepas dia memulakan misi Global Ride Dream 2.

“Apabila Covid-19 melanda semua sempadan negara tutup membuatkan misi saya tergendala dan ketika itu saya berada di Addis Ababa, ketika itu cuma sempat mengembara 14 negara membabitkan 22,000 kilometer daripada perancangan asal 70 negara sejak misi itu dimulakan pada Disember 2019.

“Saya membuat keputusan meninggalkan motosikal saya di rumah seorang kawan selepas mendapat lanjutan tempoh permit import sementara (TIP) motosikal selama lima bulan dan mengambil penerbangan ke Tanzania kerana menyangkakan Covid-19 ini macam wabak biasa sahaja.

“Siapa sangka ia berpanjangan membuatkan saya terkandas di Tanzania selama 13 bulan sebelum memutuskan untuk balik ke Malaysia tanpa motosikal pada Ramadan tahun lalu kerana sempadan Ethiopia ditutup untuk pelancong luar walaupun saya menghubungi pihak kastam untuk mengambil atau melanjutkan tempoh TIP itu, namun usaha itu gagal,” katanya.

Menurutnya, masalah timbul kehadirannya ke negara itu buat kali kedua pada 6 Januari lalu untuk mengambil motosikal tidak mendapat surat sokongan daripada mana-mana Kedutaan Ethiopia.

“Pegawai Kementerian Luar kita, Jesse sudah menghantar emel kepada Kedutaan Ethiopia di Beijing, China bagi mendapatkan surat sokongan, namun tidak mendapat maklum balas sehingga saya terpaksa pergi dengan hanya surat sokongan dari Malaysia.

“Saya juga sepatutnya dijadualkan ke negara itu pada 8 Disember lalu, namun permohonan visa pelancong diluluskan pada 28 Disember.

“Memandangkan penerbangan dari Malaysia ke Addis Ababa cuma seminggu sekali, jadi saya hanya tiba di negara itu pada 6 Januari lalu iaitu sehari sebelum visa saya tamat tempoh.

“Selepas mendapatkan lanjutan tempoh visa, saya berurusan dengan pihak kastam bagi mengeluarkan motosikal, namun disebabkan TIP motosikal saya tamat tempoh pada Ogos 2020 dan tiada surat sokongan mana-mana Kedutaan Ethiopia menyebabkan ia menjadi satu isu di sana,” katanya.

Katanya, selepas enam hari berurusan dan berusaha membuat rayuan kepada pihak kastam di Ethiopia, akhirnya motosikalnya mendapat kebenaran untuk dibawa keluar dari negara itu mulai semalam dan tempoh mengeluarkannya berakhir 31 Januari ini.

“Sejujurnya pengalaman ini memberikan pengajaran berharga buat saya betapa pentingnya dapatkan dokumen sokongan daripada kedutaan negara berkenaan jika menghadapi masalah seperti ini.

“Saya juga berterima kasih kepada semua yang membantu, mendoakan, kongsi hantaran Facebook saya serta tulis macam-macam kata perangsang untuk menguatkan semangat saya dalam menghadapi cabaran ini seorang diri,” katanya.

Mengenai perancangan seterusnya, Anita berkata, dia tidak serik sebaliknya akan menyambung kembali misi merentas 70 negara dan tujuh benua menerusi Global Ride Dream 2 yang tergendala dalam masa terdekat.

“Dari Jeddah saya akan teruskan misi ini mengembara ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Iran, Turki, Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Selatan sebelum ke Australia dan kembali ke Malaysia,” katanya.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era Tv 

Sumber : Facebook Anita Yusof, Harian Metro

Be the first to comment on "“Penat, Susah, Tak Mudah…”-Pengembara Wanita Solo Malaysia Menangis Ceritakan Pengalaman Terkandas, Jadi Inspirasi Ramai"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*