Tak Mahu Lepaskan, BAM tawar Zii Jia RM1 Juta Setahun?

Betapa sayangnya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada Lee Zii Jia sehingga sanggup menawarkan gaji sebanyak RM1 juta setahun hanya semata-mata mahu jaguh perseorangan negara itu kekal bersama badan induk berkenaan.

Malah difahamkan tawaran cukup lumayan itu adalah kali pertama diberikan BAM kepada pemain di bawah naungannya.

Jelas sumber, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Zii Jia pada sesi rundingan selepas dia menghantar surat peletakan jawatan pada 11 Januari lalu untuk bergerak secara profesional.

“Datuk Lee Chong Wei (bekas jaguh perseorangan) pun tak pernah mendapat tawaran seperti itu. Ini membuktikan BAM sangat sayangkan Zii Jia dan menghargai bakat yang ada padanya.

“Zii Jia disifatkan sebagai aset penting kepada BAM. Sebagai sebuah persatuan, BAM turut mempunyai kekangan dan tidak boleh memberi tawaran di luar kemampuan tetapi sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan Zii Jia kekal. Tapi pemain itu kekal dengan pendiriannya dan tetap mahu keluar daripada BAM,” katanya.

BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

Andai Zii Jia menerima tawaran berkenaan, dia bakal menerima gaji RM83,333 sebulan dan itu tidak termasuk elaun lain yang diberikan BAM kepada barisan pemainnya.

Malah jika seseorang pemain itu muncul juara di mana-mana kejohanan, wang kemenangan itu 100 peratus akan menjadi milik pemain berkenaan bersama tambahan bonus diberikan oleh BAM.

Tular di media sosial apabila seorang pengguna Twitter memuat naik keratan berita yang memaparkan gaji pemain bola sepak tempatan dan membandingkan ia dengan gaji yang diperoleh Lee Zii Jia.

Sehubungan dengan itu, ramai mempersoalkan keperluan membayar gaji sebanyak itu terutamanya kepada pemain bola yang diimport dari negara luar.

Manakala Lee Zii Jia yang pernah memasuki piala dunia hanya dibayar ‘ala kadar’ dan ada juga yang menganggap atlet lain pula mungkin dibayar lagi rendah daripada sepatutnya.

“Gaji pemain bola di Malaysia semua tinggi-tinggi, tapi taraf permainan masih di tahap rendah. Satu pembaziran.” tulis seorang netizen.

“Bergantung pada kelab bola masing-masing. Ada yang sampai cecah RM250k, kalau kelab tu kayalah.” komen @AfiqUmar pula.

Sebelum ini, pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu difahamkan menerima tawaran lumayan daripada sebuah syarikat peralatan sukan dari Taiwan yang mendorongnya untuk meninggalkan BAM.

Zii Jia didakwa ditawarkan bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.674 juta) setahun dengan tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.718 juta.

 

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era Tv 

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment on "Tak Mahu Lepaskan, BAM tawar Zii Jia RM1 Juta Setahun?"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*