Wartawan Cilik Terima Hadiah Dari Sultan Kedah & Tawaran Berlakon

BERMULA dengan aksi bersahaja melaporkan secara langsung penemuan ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Kedah menerusi Facebook, adik Muhammad Haziq Mohd Asyraf bukan saja popular sekelip mata, malah murah rezeki.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu kemudian diberikan peluang membuat laporan secara langsung berasa Astro Awani serta membuat pengumuman berkaitan suntikan ‘booster’ vaksinasi Covid-19 di sekitar Bukit Selambau menaiki van Jabatan Penerangan (JAPEN).

Kepetahan adik Muhammad Haziq turut mendapat perhatian Pejabat Sultan Kedah apabila dikunjungi kakitangan istana yang menyampaikan hadiah kepadanya.

Menerusi satu video dimuatnaik di Facebook, Muhammad Haziq berkata dia menerima telefon bimbit dan tablet jenama Oppo disampaikan kakitangan istana.

“Tadi kakitangan Sultan Kedah bagi hadiah, kami dapat telefon dan tablet Oppo… ada juga orang bagi duit, kotak pensil dan macam-macam lagi.

“Alhamdulillah rezeki, kami pun tak tau macam mana boleh viral (video siaran langsung penemuan ular sawa). Amat-amat dahsyat,” katanya menerusi video berkenaan.

Sebelum ini ibunya, Shakilla Zainol, 33, berkata dia menerima panggilan telefon daripada pihak istana memaklumkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan untuk menghadiahkan anaknya telefon bimbit.

 

MUHAMMAD HAZIQ bergambar selepas membuat hebahan mengenai kesedaran pengambilan vaksin C0vid-19 di Sungai Petani baru-baru ini.

Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi menangkap ular sawa di Bukit Selambau, memaklumkan mahu memberikan sijil penghargaan buat Muhammad Haziq dalam satu program di Langkawi.

Terima Tawaran Berlakon

Wartawan’ cilik yang tular kerana melaporkan penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani menerima tawaran berlakon daripada sebuah sanggar produksi yang berpangkalan di ibu negara.

Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, berkata, dia me­nerima panggilan mengenai tawaran berlakon tersebut baru-baru ini.

“Nak terima tawaran tersebut pun jauh sangat, sebab dari KL (Kuala Lumpur), kita duduk kat Kedah, depa (mereka) duduk dekat KL.

“Nak juga berlakon macam Alisa, Kenit seperti dalam drama 7 Hari Mencintaiku, tapi dapat watak apa pun tak apa, watak nak jadi APM ke, buat panggilan 999 ke,” katanya ketika ditemui selepas Program Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Bersama Adiwira Cilik Prihatin di Kompleks APM Langkawi di sini semalam.

Pada majlis sama, Muhammad Haziq menerima penghargaan Pertahanan Awam ‘Aura Prihatin Marga’ daripada APM yang disampaikan Ketua Pesuruhjayanya, Aminurrahim Mohamed.

 

‘Wartawan cilik’ derita talasemia

Di sebalik kepetahannya bercakap, seorang kanak-kanak yang menjadi popular selepas videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau dekat sini baru-baru ini sebenarnya penghidap talasemia.

Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, disahkan menghidap penyakit itu pada usia lima tahun dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini secara berkala.

Menurut pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau itu, keadaan kesihatannya tidak menentu dan perlu mengambil ubat selain suplemen asid folik setiap hari.

“Saya juga pernah masuk wad hospital dan buat pemindahan darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau di sini semalam.

Talasemia adalah sejenis pe­nyakit genetik sel darah merah yang mana pesakit tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi kerana genetik yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas.

Hemoglobin merupakan satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita. Talasemia ialah penyakit genetik atau keturunan.

Muhammad Haziq berkata, walaupun menghidap penyakit itu, ia bukan penghalang untuk bergerak aktif seperti kanak-kanak normal lain.

“Cuma saya rasa cepat letih, tetapi apa yang penting, saya perlu jaga kesihatan dengan mengambil asid folik seperti diminta doktor,” katanya yang me­rupakan anak sulung daripada dua beradik.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era Tv 

Sumber : Youtube Satu Berita, Utusan Malaysia

Be the first to comment on "Wartawan Cilik Terima Hadiah Dari Sultan Kedah & Tawaran Berlakon"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*