Beri Mas Kahw1n RM22,222.22, Zul(2 by 2) Kini Suami Penyanyi Intan Maya!

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah…apa yang dirancang akhirnya jadi kenyataan apabila saya selamat bernikah dengan Intan Maya,” kata penyanyi dan komposer Zul 2 By 2 yang bernikah buat kali kedua semalam.

Selepas hampir empat tahun menduda, penyanyi dan komposer Zul (2 by 2) kembali mendirikan rumah tangga dengan Intan Maya yang juga seorang penyanyi dan pernah menganggotai kumpulan The Girls.

Zul, 50, atau nama sebenarnya Zulkifli Majid memilih penyanyi juga bekas anggota kumpulan The Girls itu untuk mengisi kekosongan hati selepas bercerai dengan penyanyi  Ismaliza Ismail atau Isma AF7 pada 2018.

“Kami sah bergelar suami isteri pada jam 10 pagi di masjid Taming Jaya, Balakong. Tarikh istimewa ini dipilih oleh saya sebagai kenangan buat kami berdua.

“Bukan saja tarikh, malah wang hantaran diberikan kepada isteri juga berjumlah RM22,222,22,” katanya.

Zul mula mengenali Intan Maya secara dekat pada majlis berbuka puasa April, tahun lalu dan mereka kemudian bertunang pada Jun. Sebelum itu, kedua-duanya hanya kenal sebagai rakan artis.

Menerusi perkahwinan mereka yang terdahulu, Zul mempunyai lima anak, manakala Intan Maya pula mempunyai empat cahaya mata.

“Kami berjumpa ketika sama-sama solo.

“Sebelum ini saya sudah ada pengalaman berkahwin selama 20 tahun, jadi tidak ada masalah rasanya untuk kembali membiasakan diri menjadi suami.

“Tanggungjawab saya juga besar kerana sekarang ada sembilan orang anak. Jadi saya cuba sebaik mungkin untuk lakukan tugas sebagai seorang bapa,” kata Zul.

Intan Maya, 39, pula berkata, dia hampir tewas dengan ujian yang dilalui beberapa hari menjelang pernikahan mereka.

“Banyak juga dugaan antaranya penyediaan dokumen kahwin yang terlalu ketat, sampaikan terfikir nak batalkan saja. Tapi, bila dah selesai akad nikah, kami rasa seperti terlepas satu ujian yang sangat berat. 

“Dugaan lain pula ialah adik saya dari Johor nak datang ke sini bawa kek kahwin, namun malangnya kereta rosak hingga kek cair. Dia menangis kerana tak dapat bersama saya.

“Jurusolek pula positif Covid-19 dan akhirnya saya terpaksa bersiap sendiri. Tiga anak abang Zul juga positif dan hanya seorang yang dapat hadir,” katanya.

Intan Maya berkata, Zul juga pernah melahirkan rasa bimbang sekiranya dia bertindak membatalkan perkahwinan mereka dengan apa yang berlaku.

“Banyak sangat tekanan yang dilalui. Sebenarnya tempat kami nak bersanding pula kena ribut yang berlaku sebelum ini. 

“Dalam hujan lebat saya berdoa kepada Allah agar permudahkan mana yang tak kena. Jika betul ada jodohku, kau permudahkanlah.

“Rupanya abang Zul pun berdoa yang sama. Saya suruh dia berdoa ketika hujan dan akhirnya satu demi satu urusan dipermudahkan,” katanya. 

Mereka yang pernah menyanyi duet lagu Tugu Cinta belum merancang bulan madu atau mempunyai anak kerana mahu fokus pada rakaman lagu Hari Raya bersama Sheeda dangdut, Wan Scoin dan Sam Suhaid selepas ini. 

Sementara itu, berkongsi pengalaman lalu, Maya berkata dia pernah menyimpan dendam terhadap Zul kerana menjadi punca dia didenda di sekolah gara-gara menyanyikan lagu Kau Mawarku.

“Ketika di zaman sekolah saya pernah mengajak kawan-kawan menyanyi lagi Kau Mawarku sehingga menyebabkan kami didenda oleh guru. Sejak dari itu saya jadi marah dan benci pada Zul.

“Orang selalu bercakap, kalau marah pada seseorang akan jadi jodoh. Siapa sangka sekarang ini saya jadi isteri kepada penyanyi lagu yang pernah membuatkan saya didenda di sekolah,” ujarnya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era Tv 

Sumber : Harian Metro, mStar

Be the first to comment on "Beri Mas Kahw1n RM22,222.22, Zul(2 by 2) Kini Suami Penyanyi Intan Maya!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*