Ada Rahsia, Isteri M.Nasir Buat 1 Pengakuan Pada Hari Pernikahan Mereka

WANG dinar emas menjadi mas kahwin M. Nasir kepada Marlia.

Mulai tahun depan mereka bukan saja akan menyambut hari itu sebagai Hari Kebangsaan tetapi juga hari ulang tahun perkahwinan mereka.

“Ia adalah satu tarikh yang senang diingat,” seloroh Marlia apabila ditanya kenapa mereka memilih tarikh itu.

Tetapi artis berusia 55 tahun itu kemudian menambah, mereka memilih tarikh 31 Ogos kerana kesesuaian masanya.

Kisah cinta M.Nasir, 65, dan Marlia hangat diperkatakan dan mereka kemudian memilih untuk bersama sebagai suami isteri.

Ini merupakan perkahwinan kedua M.Nasir selepas kematian isterinya Junainah Johari, manakala Marlia menamatkan zaman gadisnya.

Majlis akad nikah pasangan itu diadakan di rumah Marlia di Subang Jaya ketika seluruh rakyat Malaysia bergembira merayakan Hari Kebangsaan.

Mereka selamat diijab kabulkan dalam suasana yang serba sederhana tetapi meriah. Marlia berwalikan sepupunya Muhammad Aris Jailani. Bapa kepada Marlia, Musa Albakri sudah lama meninggal dunia.

Kebanyakan 500 orang jemputan yang hadir merupakan keluarga terdekat pasangan itu termasuk rombongan keluarga M.Nasir dari Singapura.

Keluarga M.Nasir dari Singapura yang turut hadir pada majlis itu ialah bapa, abang dan kakaknya. Ibu pengantin lelaki tidak hadir khabarnya kerana masalah kesihatan.

Bagi majlis akad nikah tersebut, M.Nasir membawa tujuh dulang hantaran berbalas dengan sembilan dulang hantaran daripada pengantin perempuan.

Setiap hantaran dihias dengan begitu cantik terdiri daripada barangan diri seperti pakaian, barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan jam tangan. Wang hantaran daripada pengantin lelaki ialah sebanyak RM20,000.

Apa yang uniknya dalam majlis akad nikah itu ialah M.Nasir memilih untuk menggunakan wang dinar emas sebagai bayaran mas kahwinnya kepada pengantin perempuan.

Tiga belas keping wang dinar emas bernilai RM2,000 menjadi bukti penyatuan kedua-dua mereka.

Menurut M.Nasir, dia memilih wang dinar tersebut kerana ‘ingin kembali kepada tradisi Islam.’

M.Nasir duda lima anak itu kematian isteri sejak 24 tahun lepas.

Daripada perkahwinan pertama, M.Nasir memiliki lima orang anak iaitu Muhammad Ilham, 36, Muhammad Yasin, 34, Muhammad Hidayat, 28, Muhammad Syafii, 27 dan Nilam Sari,24 tahun. Cuma Hidayat, Syafii dan Nilam Sari kelihatan hadir pada majlis tersebut.

Penyatuan pasangan Nasir-Marlia kini secara tidak langsung menjadikan Marlia ‘ibu segera’ kepada lima orang anak tiri.

Kata Marlia, dia tidak mempunyai masalah dengan anak-anak M.Nasir kerana proses penyesuaian antara dirinya dengan mereka berjalan lancar.

Biar apa pun kata Marlia, dia akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi ibu kepada anak-anak yang masih kecil itu.

Begitu pun artis itu memang agak berkecil hati apabila persoalan penerimaan anak-anak tiri itu diajukan berulang kali. Marlia tidak menafikan bahawa dia memang agak sensitif dengan soalan seperti itu.

“Hanya mereka yang melihat saja tahu bagaimana rapatnya hubungan saya dengan anak-anak Abang Nasir.

“Saya tetap sentiasa memperbaiki hubungan tersebut. Tanggungjawab itu bukan kecil kerana kini saya bukan saja harus memikirkan dua kepala tetapi lima yang lain,” kata Marlia.

Berbulan madu? Kata M.Nasir, setakat ini mereka tidak merancang untuk ke mana-mana lantaran kesibukan kerja. Tetapi mereka tetap akan mencari satu tarikh yang sesuai kelak.

“Tetapi mungkin dalam negara saja kerana kami ingin menyambut seruan kerajaan,” katanya.

Bercerita tentang percintaan mereka, kata M.Nasir, dia sebenarnya sudah lama mengenali Marlia iaitu sejak Marlia berusia 16 tahun. Ketika itu M.Nasir berusia 26 tahun. “Pada masa itu Marlia adalah pelakon radio di Singapura,” katanya.

Kata M.Nasir, dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Marlia kerana menganggap wanita itu cukup sesuai untuk mengisi kekosongan hidupnya dan anak-anak.

Bagi Marlia pula, M.Nasir adalah cinta sejati yang pertama. Seperti pasangan lain, Marlia dan M.Nasir berharap ikatan itu berkekalan.

Kata Marlia, selepas berkahwin M.Nasir tetap tidak menghalang dirinya untuk terus berlakon. Bagaimanapun kata Marlia, selepas ini dia harus teliti memilih tawaran. Itu kerana dia tetap akan mengutamakan masa untuk keluarga barunya.

“Kalau berlakon drama televisyen mungkin itu agak berat tetapi kalau drama pentas saya akan menimbangkan sebarang tawaran,” kata Marlia yang merupakan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Marlia juga menolak dakwaan bahawa dia akan bekerja dengan syarikat M.Nasir iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd.

Selepas diijab kabulkan, M.Nasir dan Marlia mengadakan majlis persandingan mereka di salah sebuah hotel di Subang Jaya pada 1 September dan di rumah pengantin lelaki di Sungai Buloh pada 2 September.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era Tv 

Sumber :Utusan Malaysia

Be the first to comment on "Ada Rahsia, Isteri M.Nasir Buat 1 Pengakuan Pada Hari Pernikahan Mereka"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*