Ada Rahsia Yang Ramai Tidak Tahu! Sudirman Ada Anak Angkat Bernama Suraj!

URTV: Berapa usia Suraj ketika ini?

SUDIR: 1 tahun 3 bulan.

URTV: Kami tahu Suraj amat manja dengan Sudir, tapi hari ini dia asyik tidur aje (ketawa).

SUDIR: Dia sak1t baru-baru ini. Tengah dalam perintah makan ubat doktor lagi ni. Sebab tu dia mengantuk.

URTV: Kesian. Bolehkah Sudir ceritakan sedikit sebanyak tentang pengambilan Suraj sebagai anak angkat?

SUDIR: Boleh. Suraj sebenarnya ialah anak saudara mendiang Rethina Kumar, ‘bodyguard‘ saya yang m4ti dibunuh dulu. Dulu semasa mendiang bertugas dengan saya, dia bercadang masuk Islam. Lalu saya berjanji akan mengambil anak lelaki sulungnya untuk saya pelihara seperti anak sendiri. Beri dia segala kemudahan untuk berjaya dalam pelajaran dan hidup. Kemudian, satu hari mendiang bertanya, kalau dia m4ti sebelum itu, apakah yang akan saya lakukan? Saya berkata saya akan mengambil salah seorang bayi dari keluarganya untuk saya didik seperti anak sendiri. Dia sungguh gembira dan sehingga hari ini saya terbayang kegembiraan di wajahnya. Seperti mendiang tahu yang dia akan pergi.

URTV: Di mana Sudir jumpa Suraj pertama kalinya?

SUDIR: Klinik beranak Chowdhry di KL. Saya dapat berita yang adik perempuan mendiang telah melahirkan anak sulung di Klinik Chowdhry. Saya bergegas ke sana. Walaupun baru 2 jam setelah dilahirkan, Suraj tersenyum melihat saya. Saya terus jatuh hati.

URTV: Terus Sudir angkat?

SUDIR: Tidak. Tapi saya berkenan sebab iras wajahnya pun seperti mendiang Kumar. Dua hari kemudian, saya melawatnya lagi. Kali ini dia menangis dan semua orang dukung dia, tapi dia tetap menangis. Apabila saya dukung, dia terus diam. Dan ini berlaku beberapa kali. Kalau saya dodoikan dia, dia tidur. Lalu saya berkenan habis dan menyatakan hasrat saya.

URTV: Tiada yang menentang?

SUDIR: Salah seorang bapa saudara Kumar melarang saya melibatkan diri saya dalam menamakan bayi itu. Tapi kalau saya sudah suka, saya akan cuba hingga berjaya. Saya namakan bayi itu Suraj Kumar bermakna “Raja yang cantik”. Saya ambil ‘SU’ dari nama awalan saya. Ibu bapanya suka nama itu.

URTV: Lepas itu?

SUDIR: Selepas dua minggu, saya nyatakan hasrat saya untuk mengangkat Suraj lagi. Ibu bapanya bersetuju, tetapi setelah 4 tahun, Suraj perlukan kasih sayang seorang ibu pada usia sebegini. Walau bagaimanapun, Suraj mengenali saya dan amat manja dengan saya. Dia membuat saya rasa terhibur.

URTV: Ada orang bertanya, kenapa Sudir tak ambil anak yatim piatu?

SUDIR: Saya tahu orang akan bertanya. Tapi di sini, soalnya bukan soal kebajikan. Itu saya lakukan tanpa alasan. Tapi di sini, pokoknya ialah Suraj sukakan saya dan saya mahu memenuhi janji-janji saya pada mendiang Kumar. Seperti perkahwinan, kita tidak kahwin kerana kasihan, tapi kerana ada perasaan cinta, kasih dan sayang. Begitu juga dengan Suraj. Dengan cenderungnya dia kepada saya, saya amat tersentuh hati. Saya rasa ini ditakdirkan Tuhan untuk saya. Bukan senang nak dapatkan seorang bayi yang sayangkan kita.

URTV: Dulu kata Sudir, Suraj akan Sudir Islamkan.

SUDIR: Benar. Saya bertanya pada Ustaz saya. Kata beliau, tunggu sehingga dia boleh bertutur dan mengucap. Dalam perkiraan 4-5 tahun. Saya sedia menunggu. Niat saya jujur mahu membahagiakan dirinya. Kerana ini membahagiakan saya. Saya sudah sampai ke tahap umur di mana saya mahu menimang budak dan bertanggungjawab mendidik. Suraj datang bergolek.

URTV: Kenapa tak kahwin dapatkan anak darah daging sendiri?

SUDIR: Susahlah soal kahwin-kahwin ini (ketawa). Ini hal takdir. Tuhan masih belum membuka jalan saya ke arah ini. Kalau takdir saya tak menolak. Untuk mencari, saya penat dan banyak kerja. Saya rasa kalau jodoh, tak ke mana.

URTV: Tidakkah nanti belaian seorang ibu akan lebih memudahkan pembimbingan anak?

SUDIR: Kita manusia sering membeza-bezakan perasaan ibu, ayah dan seumpamanya. Perasaan kasih terbit dari siapa saja. Terserah kepada hati masing-masing. Saya rasa kasih sayang saya amat tinggi nilainya.

URTV: Apakah perancangan Sudir untuk Suraj?

SUDIR: Ada jangka pendek. Ada jangka panjang. Tapi saya pun hanya merancang. Allah jua yang menentukan segala-galanya. Kita tak dapat melawan takdir.

URTV: Apabila diislamkan, apa nama Suraj nanti?

SUDIR: Saya suka Muhammad Qamar kerana itulah nama pilihan mendiang Kumar dahulu untuk dirinya. Maksudnya: ‘Bulan Yang Terpuji’.

URTV: Sudir nak ambil anak angkat lagi?

SUDIR: Saya amat sibuk. Banyak urusan. Nak jaga Suraj terus pun mungkin sukar ketika ini, dia masih kecil. Jadi, sukar untuk menjaga lebih ramai bayi ketika ini. Tetapi, saya sentiasa berserah pada takdir.

URTV: Apa kata kalau ibu bapa Suraj menolak kemudiannya untuk diislamkan?

SUDIR: Saya tak boleh meramalkan apa yang belum berlaku. Saya terima segala ketentuan takdir. Kita boleh berusaha, takdir juga yang berkuasa. Yang kita dapat ialah pengalaman dan pengajaran.

 

 

Oleh: Bahyah Mahmood (BAM) 

Foto: Sa’ari Amin

Sumber: Majalah Hiburan URTV terbitan 15hb April 1991.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era Tv 

Sumber : http://sudirman-arshad.blogspot.com/

Be the first to comment on "Ada Rahsia Yang Ramai Tidak Tahu! Sudirman Ada Anak Angkat Bernama Suraj!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*