Gempak! Inilah ‘Suara’ sebenar Search

Ketika artikel ini ditulis, sudah bertebaran ulasan, reviu, komen, pendapat dan perkongsian video di media sosial mengenai Konsert Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur yang berlangsung, Sabtu lalu.

Rata-ratanya menulis mengenai rasa teruja, kagum, seronok, ‘respek’ dan macam-macam lagi terhadap band dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Denden Gonjales (penyanyi), Yan (bass) dan Minn (dram) itu.

Dalam banyak-banyak aspek, pemilihan lagu pada malam itu adalah paling menarik untuk diperkatakan.

Sebanyak 16 lagu pada malam itu, rata-ratanya tidak pernah, jarang-jarang atau sudah lama tidak dimainkan Search dalam konsert sebelum ini.

Contohnya Metropolitan, Purnama, Bersalah Atau Tidak, Rock & Roll Pie, Emanuelle, Melayar Bahtera (dinyanyikan Ella pada malam itu), Mentari Merah Di Ufuk Timur, Teguh dan Neo Romantik.

Mungkin ada di antaranya pernah dimainkan waktu konsert mereka di lewat tahun 80-an atau awal 90-an, tapi seingat saya, sejak Konsert Reunion Search di Stadium Merdeka pada 2004, lagu-lagu ini memang tidak ada dalam mana-mana konsert Search. Kalau ada pun, mungkin dalam beberapa konsert tertentu.

Lagu lain pilihan mereka pada malam itu ialah Bencana, Pasti, Melastik Ke Bintang, Di Pintu Sepi, Diari Habil & Qabil dan Fantasia Bulan Madu.

Selain itu, Ella bersama Denden berduet menyanyikan lagu Bayangan.

Bagi yang mengharapkan lagu Isabella, Pawana, Isi Atau Kulit dan Pelesit Kota, maaf, itu bukan malam anda. Ini kerana kebanyakan peminat Search malam itu sudah bosan dengan lagu-lagu terbabit yang selalu dimainkan dalam setiap konsert Search sebelum ini.

Yang hadir Sabtu lalu adalah peminat tulen Search. Peminat yang tahu dan hafal semua katalog lagu Search, bukan lagu yang ‘itu-itu’ saja tetapi melopong apabila Search membawa lagu Metropolitan atau Bersalah Atau Tidak (sekadar contoh).

Saya pasti, Noordin dan Kid selaku ‘frontman’ Search kali ini menggunakan ‘kuasa’ mereka dalam pemilihan lagu. Semuanya adalah lagu yang mereka ingin mainkan sejak dulu selain ia juga menampilkan ‘guitar works’, riff dan solo terbaik pemain gitar adik-beradik itu.

Semua lagu juga bernada tinggi dan sesuai dengan Denden yang memiliki kemampuan vokal sedemikian.

Konsert anjuran Search Rock Station ini juga membuktikan Noordin dan Kid yang selama ini agak ‘low profile’ sebenarnya adalah nama besar dalam Search. Gabungan mereka menghasilkan ‘sound’ sebenar muzik Search.

Daripada 12 album studio Search, enam album menampilkan Noordin dan Kid sebagai pemain gitar. Ini tidak termasuk dua album bersama Wings iaitu Double Trouble I dan Double Trouble II, cuma Kid hanya memainkan tiga lagu dalam album Fenomena pada 1989.

Peminat Search sebenarnya ‘membesar’ dengan ‘sound’ gitar dua beradik ini. Noordin selalunya menghasilkan riff yang menjadi rangka awal lagu-lagu Search, manakala Kid memberikan sentuhan magisnya dalam bahagian solo gitar. ‘Chemistry’ yang ditambah dengan pertalian darah yang ada cukup kuat!

Ini dibuktikan pada malam konsert apabila kedua-duanya ‘all out’! Penonton sendiri tahu bagaimana bunyian gitar mereka pada malam itu. Riff lagu Purnama dan Melastik Ke Bintang cukup melekat di kepala hingga hari ini. Solo gitar lagu Teguh pula ibarat ‘seketul-seketul’ seperti dalam album!

Dengan dibantu pemain bass, Yan yang juga sinonim dengan Search, mereka berjaya menarik lebih ramai peminat Search selain memberikan satu persembahan yang mantap dan memukau.

Yan memang pemain bass ‘versatile’. Pengalaman bersama Search dulu, Lefthanded, XPDC selain mengiringi konsert dan rakaman album Datuk M Nasir digunakan sebaik-baiknya.

Gandingannya dengan pemain dram, Minn juga memberikan ‘tone’ dan ‘sound’ yang padu, stabil dan berkesan. Minn yang dikenali dalam kalangan peminat muzik punk / hardcore mungkin masih jauh jika nak dibandingkan dengan Allahyarham Yazit Ahmad, tapi jujur dikatakan dia mampu ke arah tu.

Muzik Search juga dikukuhkan dengan sentuhan pemain keyboard, Firdaus yang kerap bersama mereka sejak dulu.

Paling mencuri perhatian pastinya Denden – individu yang dinanti-nantikan peminat Search. Pada awalnya, ada yang meragui kemampuan penyanyi dari Bandung, Indonesia ini tetapi Denden membuktikan mereka silap.

Penyanyi berusia 38 tahun itu membuktikan dia layak meneruskan legasi Search. Lagu-lagu Search yang ‘sukar’ dinyanyikan selamba ‘ditapau’ Denden.

Vokal Denden bukanlah 100 peratus sempurna, tetapi sesuai dengan muzik Search ketika ini. Dia mampu membawakan lagu-lagu Search dengan baik. Namun, Denden perlu perbaiki aspek penguasaan pentas, komunikasi dan penampilannya. Pasti persembahannya lebih memukau jika dia lebih lincah di atas pentas, dan bukannya malu-malu.

Bak kata Noordin, Denden bukan pengganti Amy, tetapi adalah penerus legasi Search. Memang sukar untuk Denden lari dari bayangan Amy melainkan dia dan Search tampil dengan lagu baru.

Bukan saja anggota Search, pujian juga harus diberikan kepada kru balik tabir antaranya Kuzai (jurutera bunyi), Vimal James (jurutera monitor), Man Raja (pereka pencahayaan), Robin (juruteknik gitar Noordin), Azmi (juruteknik gitar Kid), Lomaq (juruteknik bass Yan), Kaduk (juruteknik dram), Mael (juruteknik keyboard), Syam Bobo (juruteknik vokal) dan ramai lagi.

Jika mahu memperkatakan mengenai konsert rock terbaik tahun ini, konsert ini adalah jawapannya. Ini konsert rock tulen. Tidak perlu gaya bertaraf ‘rockstar’, tidak perlu layanan berstatus VIP, tidak perlu undang-undang ketat untuk penonton, yang penting lagu-lagu disukai penonton dan ‘sound’ yang melekat di jiwa!

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Era Tv 

Sumber :Harian Metro

Be the first to comment on "Gempak! Inilah ‘Suara’ sebenar Search"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*